KUCHING: Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) yang diilham Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg dan dilaksanakan sejak pada tahun 2018 hingga kini bukan sahaja membantu rakyat yang susah, tetapi juga berkongsi ‘rezeki’ bersama Kerajaan Sarawak.
‘Rezeki’ ini tidak terkecuali dikongsi bersama masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut yang turut menerima bantuan baik pulih rumah menerusi PPRMS.
Mohamad bin Bujang dari Kampung Tabuan Lot yang ditemui melahirkan rasa gembira yang tidak terhingga atas bantuan baik pulih rumahnya dengan menggantikan atap yang bocor.
“Saya berasa suka hati dan gembira kerana mendapat bantuan baik pulih atap rumah menerusi PPRMS.
“Dahulu, keadaan atap rumah saya bocor dan masuk air ketika hujan, selepas dibaik pulih keadaan bertambah baik,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penerima PPRMS Zainuddin bin Zainal Kampung Tabuan Hilir mengucapkan terima kasih kepada ADUN Demak Laut dan Kerajaan Sarawak di atas bantuan baik pulih rumah menukar atap yang amat diperlukan.
“Terima kasih Dr Hazland dan Kerajaan Sarawak di atas bantuan baik pulih rumah ini.
“Kini, kami sekeluarga boleh menikmati kehidupan lebih baik dan tidak perlu lagi risau akan atap yang bocor.
“Saya bersyukur sangat-sangat dan hanya Allah S.W.T sahaja yang dapat membalas budi dan jasa ADUN Demak Laut dan Kerajaan Sarawak,” katanya.
Manakala, bagi Dayang Rabia Awang Kaderi Kampung Tabuan Hilir beliau pada mulanya tidak menyangka Kerajaan Sarawak mempunyai projek baik pulih rumah sebegini dan mengucapkan terima kasih kerana memilih rumahnya sebagai salah seorang penerima.
“Saya melihat PPRMS ini suatu projek yang sangat baik kerana dapat membantu rakyat yang susah termasuk saya dalam baik pulih rumah.
“Saya sendiri merasai manfaatnya dan bersyukur atas peluang yang diberikan. Sekarang ini, saya tidak perlu lagi memikirkan kerosakan atap rumah yang sering menghantui saya sekeluarga,” katanya. -Buletin Demak Laut
No comments:
Post a Comment