Music

Header Ads

Wednesday, July 29, 2020

Daerah Lundu Kembali Bertukar Kuning, Penduduk Perlu Terus Patuhi SOP


DEMAK LAUT, Kuching: Peningkatan kadar kes positif baru COVID-19 di Sarawak membimbangkan apabila Daerah Kuching telah diisytihar sebagai kawasan merah dan Lundu juga telah bertukar kepada kawasan kuning.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Pesisir Kuching, Samarahan dan Lundu Dr Hazland Abang Hipni berkata, situasi tersebut membimbangkan selepas kebanyakan kes baru itu datangnya dari kes import dan penularan tempatan.

“Masyarakat perlu mengambil berat terhadap pematuhan garis panduan prosedur operasi standard (SOP) di dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dilihat ketika ini kurang diambil perhatian.

“Penguatkuasaan mewajibkan pemakaian pelitup muka bermula 1 Ogos ini amat penting kerana didapati ada yang tidak mengendahkannya terutama di kawasan sesak dan khalayak ramai.

“Dalam pada itu, semua agensi dan jabatan kerajaan di dalam JPBB akan bertindak tegas selaras dengan arahan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak terkini,” katanya selepas mengadakan Mesyuarat JPBB Pesisir Kuching, Samarahan dan Lundu Menerusi Persidangan Video Bersama Agensi Kerajaan Di Daerah Lundu pada Selasa.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut juga menjelaskan JPBB Daerah Lundu akan terus mengawal dan menguatkuasakan SOP PKPP dengan lebih tegas bagi membendung penularan wabak COVID-19.

“Dalam mesyuarat itu, Pegawai Daerah Lundu bersama agensi-agensi lain seperti Pejabat Kesihatan Daerah Lundu, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Imigresen, Majlis Daerah Lundu, Polis Gerakan Am (PGA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Penerangan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Lundu akan terus melakukan penguatkuasaan dengan lebih ketat.

“Larangan Pergerakan Rentas Antara Zon yang mula dikuatkuasa kembali juga akan diambil perhatian bagi mengelak kehadiran orang ramai apabila hujung minggu.

“Semoga dengan kolaborasi semua agensi dan jabatan kerajaan ini serta kepatuhan pematuhan SOP oleh warga Daerah Lundu dapat dipertingkatkan dan mengawal penularan wabak COVID-19 ini,” jelasnya.


Peningkatan mendadak kes COVID-19 di Sarawak ketika ini amat membimbangkan dan masyarakat perlu mengambil maklum bahawa setiap daripada kita perlu mengambil berat dalam soal pematuhan SOP dan menjaga kebersihan diri. -Buletin Demak Laut

No comments:

Post a Comment

Back To Top