Music

Header Ads

Monday, July 27, 2020

Pendidikan Dan Pensijilan Serta Kemahiran Gandingan Pelengkap Diperlukan Dalam Sektor Perkerjaan Hari Ini


DEMAK LAUT, Kuching: “Pendidikan dan pensijilan adalah senjata ampuh yang paling berguna kepada pelajar dalam menempuh dunia pasaran kerja yang penuh saingan ketika ini.

“Ditambah pula dengan kemahiran yang perlu ada seiring dengan pengetahuan yang merupakan gandingan terbaik dalam mengharungi sektor pekerjaan pada hari ini,” gesaan itu disuarakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni ketika menyampaikan sumbangan dana kepada dua orang adik beradik kembar seiras dari Kampung Tabuan Drahman yang melanjutkan pengajian dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada Sabtu. 

Sumbangan ini merupakan aktiviti tahunan Dr Hazland sebagai galakan kepada pelajar-pelajar dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dan mencapai cita-cita mereka.

Katanya lagi, dunia pekerjaan hari ini tidak hanya bersandarkan kepada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semata-mata kerana itu baharu permulaan, masih banyak yang perlu ditempuhi untuk mendapatkan lebih banyak ilmu pengetahuan dan kemahiran. 


“Perjalanan masih jauh dan pelajar perlu memanfaatkan peluang ini untuk terus menimba ilmu dan kemahiran demi masa depan.

“Keadaan hari ini tidak sama dengan dunia terdahulu yang sudah terlalu jauh ke hadapan dan bergerak pantas. Jika kita lambat dan lewat, maka kita sebenarnya gagal untuk Bergerak ke hadapan. 

“Untuk itu, kita perlu pantas dalam menempuhi dunia teknologi yang serba canggih ini supaya kita tidak ketinggalan dan bergerak seiring demi kemajuan bersama,” ujarnya. 

Dalam majlis itu, kedua-dua beradik kembar seiras itu turut ditemani bapanya yang berterima kasih atas sumbangan yang diberikan ini. -Buletin Demak Laut

No comments:

Post a Comment

Back To Top