Music

Header Ads

Saturday, October 31, 2020

Tingkatkan Mutu Perkhidmatan KMKK, Pastikan Setiap Fungsi Dan Peranannya Sentiasa Relevan


DEMAK LAUT, Kuching: Peranan setiap Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) perlu dipertingkatkan bagi memastikan setiap fungsi dan peranannya sentiasa relevan. 


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata, untuk itu KMKK perlu mencari jalan terbaik bagi meningkatkan mutu perkhidmatan mereka. 


“Kenal pasti punca setiap isu dan permasalahan yang berlaku di peringkat kampung. 


“Apabila telah dikenal pasti, analisis dan carilah jalan penyelesaian terbaik supaya isu dan masalah itu dapat diselesaikan dengan bijaksana. 


“Dengan penyelesaian isu dan masalah itu, membolehkan prestasi KMKK meningkat dan mendapat perhatian di mata masyarakat,” katanya. 



Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Dialog Isu-Isu Kampung Bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Kawasan DUN Demak Laut pada Selasa. 


Mengulas lanjut mengenai penganjuran Dialog Isu-Isu Kampung ini, jelas Dr Hazland lagi ianya diadakan dengan kesemua ahli KMKK DUN Demak Laut sekurang-kurangnya dua kali setahun.



“Sebelum ini, telah diadakan juga mesyuarat di kampung membabitkan KMKK dan beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO’s) di peringkat kampung


“Mesyuarat tersebut lebih berkisar kepada mengenal pasti isu dan masalah serta mencari jalan penyelesaian segera,” jelasnya. 


Dalam pada itu, ADUN Demak Laut itu juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada setiap KMKK yang telah banyak membantu melancarkan pentadbiran di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut. 


“Dengan keluasan setengah dari Negeri Sembilan, mempunyai 28 buah kampung dan penduduknya lebih 50,000 adalah suatu kawasan yang luas. 


“Ini dibantu oleh 9 orang Penghulu, 25 orang Ketua Kaum dan 3 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Protem,” ujarnya. 



Pada dialog itu, Dr Hazland telah menyampaikan dana tahunan sebanyak RM10,000 kepada setiap JKKK untuk menjalankan segala aktiviti dan program di peringkat kampung. 


Katanya, setiap JKKK perlu mengemukakan laporan aktiviti dan kewangan seperti mana yang disyaratkan sebelum ini. -Buletin Demak Laut

No comments:

Post a Comment

Back To Top