Music

Header Ads

Tuesday, November 17, 2020

Permohonan Rasmi Pembinaan Baharu SK Tanjong Bako Dikemukakan Kepada Kementerian Pendidikan Malaysia


DEMAK LAUT, Kuching: Selain Sekolah Kebangsaan (SK) Senari, SK Tanjong Bako juga perlu dibina baharu bagi keperluan masyarakat khususnya anak-anak di kawasan Tanjong Bako. 


Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni, hanya dua sekolah itu sahaja yang memerlukan perhatian dengan pembinaan semula disebabkan keadaannya yang daif iaitu SK Tanjong Bako manakala SK Senari kini sedang dalam pembinaan baharu.


“Di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut hanya terdapat dua buah sekolah yang perlu dibina semula iaitu SK Senari dan SK Tanjong Bako.


“SK Senari kini sedang dalam pembinaan dan hari ini kita menyerahkan permohonan rasmi kepada Kementerian Pendidikan untuk bina baharu bangunan SK Tanjong Bako. 


“Bagi pembinaan baharu bangunan SK Tanjong Bako ini, sebuah tapak berdekatan dengan sekolah lama telah dikenal pasti,” katanya. 


Beliau berkata demikian selepas menyampaikan permohonan rasmi pembinaan bangunan baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Bako  kepada wakil Kementerian Pendidikan Malaysia pada Isnin. 


Mengenai keperluan pembinaan SK Tanjong Bako yang baharu ini, Dr Hazland menjelaskan ianya sangat penting bagi tempoh jangka panjang dari segi keperluan murid-murid disebabkan pertambahan penduduk. 


“Kawasan Tanjong Bako ini akan menjadi sebuah penempatan yang pesat dan luas pada masa akan datang.


“Ini berikutan pembukaan penempatan yang baharu selain pertambahan penduduk di Kampung Tanjong Bako, Pinggan Jaya, Binyu dan Depot Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). 


“Justeru, perlunya bangunan SK Tanjong Bako yang baharu dan luas sesuai dengan keperluan penduduk setempat pada masa akan datang,” katanya. 


Untuk itu, adalah menjadi harapan penduduk di kawasan Tanjong Bako ini untuk melihat sebuah sekolah baharu yang boleh menampung keperluan pelajar dalam menerima ilmu pengetahuan dan melahirkan modal insan  yang berkualiti. -Buletin Demak Laut

No comments:

Post a Comment

Back To Top