DEMAK LAUT, Kuching: Sistem pengairan air dan saliran itu penting untuk sesebuah kampung bagi memastikan aliran air sungai dan laut dapat digunakan untuk kepentingan pertanian selain mengelak berlakunya kejadian banjir.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata, dengan adanya sistem pengurusan air dan saliran yang baik pastinya memberi manfaat kepada penduduk dan kesejahteraan kampung.
“Bagi penduduk di kawasan kampung yang mempunyai perhubungan dengan sungai, sistem pengairan air sangat penting khususnya ketika air pasang dan musim tengkujuh.
“Ini kerana sistem pengairan air yang baik akan dapat menguruskan air hujan dan air dalam tanah untuk tujuan pertanian sekaligus mengelak berlakunya banjir,” katanya semasa meninjau Projek Titi di Kampung Sungai Bako pada Selasa.
Mengulas lanjut, untuk memastikan sistem pengairan air ini bermanfaat kepada penduduk, Dr Hazland menegaskan kemudahan ini perlu dinaik taraf dan dikawal selia setiap masa.
“Dengan keadaan cuaca yang tidak menentu dan berubah setiap tahun, keperluan sistem pengairan air perlu dinaik taraf dan dikawal selia.
“Misalnya, naik taraf sistem pengairan air di Kampung Sungai Bako yang dilaksanakan ini bertujuan mengawal daripada bencana banjir dan meningkatan hasil pertanian khususnya ketika musim kemarau,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau berharap penduduk dapat menjaga kebersihan perparitan dengan tidak membuang sampah bagi mengelak tersumbat sehingga boleh mendatangkan masalah kepada sistem pengairan air ke sungai.
No comments:
Post a Comment