DEMAK LAUT, Kuching: Sudah lebih dua bulan Program Imunisasi COVID-19 (PICK) dilaksanakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Kesihatan Bako.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata, jasa dan pengorbanan petugas di PPV seperti doktor, jururawat dan sukarelawan MyVac sangat dihargai kerana tugas mereka ini bukan sahaja menjayakan proses vaksinasi, tetapi juga berdepan dengan risiko COVID-19.
"PPV Klinik Kesihatan Bako ini adalah salah satu Program Outreach Vaksinasi bagi memudahkan kawasan luar bandar mendapat suntikan vaksin COVID-19 tanpa perlu ke PPV di bandar.
"Mereka petugas PPV ini bekerja tujuh hari seminggu termasuk Sabtu dan Ahad dalam memastikan setiap masyarakat yang layak mendapat vaksin COVID-19 divaksinasi.
"Tidak cukup dengan itu, mereka turut berhadapan dengan risiko penularan COVID-19 apabila berhadapan dengan pelbagai masyarakat ketika menjalankan tugas," katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada petugas di PPV Klinik Kesihatan Bako pada Sabtu.
Dr Hazland turut merakam ucapan penghargaan dan terima kasih kepada petugas PPV Klinik Kesihatan Bako yang membantu menjayakan PICK ini.
"Saya yakin kita akan mendapat mencapai sasaran memberikan suntikan vaksin kepada mereka yang layak di kawasan Bako ini.
"Ini selepas melihat ketekunan dan usaha petugas PPV sepanjang dua bulan ini memberikan vaksinasi kepada penduduk di sekitar kawasan Bako," ujarnya.
No comments:
Post a Comment