DEMAK LAUT, Kuching: Keputusan kerajaan menangguhkan pelaksanaan projek pembangunan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah untuk menjaga keselamatan pekerja di tempat kerja.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni, sebelum ini telah banyak kluster wujud di tempat kerja dan ini sangat membimbangkan hingga boleh menyebabkan jangkitan COVID-19 menular di dalam keluarga dan masyarakat.
“Dalam tempoh PKP, kerja-kerja pembinaan masih tidak boleh dilaksanakan berikutan jangkitan COVID-19 masih tinggi dan kewujudan kluster di tempat kerja yang membimbangkan.
“Keputusan kerajaan untuk tidak membenarkan pembukaan kawasan pembinaan pada masa pelaksanaan PKP juga adalah tepat demi kesihatan dan nyawa pekerja sebagai keutamaan.
“Bagaimanapun, pada pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1 dan Fasa 2 ini, kerja-kerja pembinaan telah boleh dilaksanakan tertakluk kepada pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP),” katanya semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke tapak pembangunan di Kampung Bako pada Isnin.
Mengulas mengenai keputusan kerajaan yang membenarkan Sarawak, Labuan dan Perlis beralih dari PPN Fasa 2 kepada Fasa 3 bermula pada Rabu, 4 Ogos 2021 disambut baik.
“Dalam tempoh PPN Fasa 1 dan Fasa 2, Sarawak telah berjaya mengurangkan kadar jangkitan COVID-19 di samping kejayaan Program Imunisasi COVIUD-19 Kebangsaan (PICK) di setiap bahagian apabila setiap penduduknya yang layak telah menerima vaksin COVID-19.
“Pada PPN Fasa 3 ini juga akan ada beberapa kelonggaran diberikan berbanding PPN Fasa 1 dan Fasa 2 sebelum ini.
“Bagaimanapun, masyarakat digesa agar terus mematuhi SOP biarpun telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 berikutan ancaman varian Delta yang cepat merebak dan merbahaya serta sedang menular di dalam masyarakat,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment