Music

Header Ads

Sunday, August 1, 2021

PKPD: 300 KIR Kampung Senari Terima Bantuan Makanan, Masyarakat Perlu Terus Waspada Varian Delta


DEMAK LAUT, Kuching: Kira-kira 300 Ketua Isi Rumah (KIR) Kampung Senari menerima bantuan makanan. 


Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata bantuan makanan ini adalah untuk keperluan kira-kira 2,000 penduduk di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).


“Kampung Senari telah dikenakan PKPD bermula 30 Julai hingga 12 Ogos 2021 selama dua minggu.


“Ini selepas penularan kes COVID-19 telah dikesan di kampung itu menerusi jangkitan tempat kerja,” katanya semasa ditemui selepas menyerahkan bantuan makanan kepada penduduk Kampung Senari yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada Sabtu. 


Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua agensi dan petugas barisan hadapan seperti Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Pejabat Daerah Kuching, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang membantu memastikan PKPD di Kampung Senari berjalan lancar. 



Dalam pada itu, Dr Hazland turut meminta semua penduduk Kampung Senari mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan arahan sepanjang PKPD ini untuk pastikan penularan COVID-19 ini dapat ditangani bersama.


“Kerjasama setiap penduduk amat penting untuk pastikan kes positif COVID-19 dapat dihindar dalam komuniti dan masyarakat. 


“Selain itu, kes COVID-19 varian Delta yang disifatkan sangat merbahaya dan cepat merebak kini mula tersebar di dalam masyarakat dan ia turut dikesan di sekitar Kuching.


“Justeru, penduduk perlu terus memberikan kerjasama kepada petugas barisan hadapan dalam membendung penularan COVID-19 varian Delta dan menjaga keselamatan diri dan keluarga,” tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Back To Top