Music

Header Ads

Friday, August 20, 2021

Varian Delta Bukan Varian Terakhir, Rakyat Diminta Terus Patuhi SOP


KUCHING: Masyarakat tidak harus berasa leka dan mengambil jalan mudah terhadap penularan COVID-19 varian Delta yang sedang menular di Sarawak ketika ini. 


Biarpun telah mempunyai dos vaksin lengkap, ianya tidak menjamin seseorang itu untuk tidak dijangkiti COVID-19 varian Delta. 


“Varian Delta yang sedang menular di Sarawak ketika ini bukan yang terakhir. Kehadiran varian ini disifatkan mudah tersebar di udara dan cepat menular dalam kalangan masyarakat. 


“Untuk itu, setiap masyarakat perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sekiranya berada di luar rumah. 


“Pengambilan vaksin yang lengkap juga penting bagi melindungi diri daripada kesan COVID-19 yang teruk seperti yang berlaku dalam kategori 3, 4 dan 5,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abg Hipni ketika diminta mengulas mengenai penularan varian Delta di Sarawak pada Khamis. 


Dalam pada itu, Pusat Khidmat DUN Demak Laut telah mengagihkan bantuan bekalan makanan kepada penduduk Kampung Goebilt yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 18 Ogos selepas penularan di dalam kampung. 


Ini merupakan PKPD yang kedua dikenakan ke atas Kampung Goebilt selepas kali pertama dilaksanakan pada 15 Jun lepas. 


Sementara itu, Dr Hazland menyeru semua penduduk Kampung Goebilt dan kampung dan rumah panjang yang dikenakan PKPD mematuhi SOP ditetapkan sepanjang PKPD ini.


“Penduduk perlu duduk di rumah masing-masing dan sentiasa mengamalkan kebersihan diri.


“Jangan keluar rumah, terutamanya kanak-kanak yang masih belum menerima vaksin. Mereka ini mudah dijangkiti COVID-19 disebabkan antibodi lemah. 


“Sebaliknya, jika perlu keluar rumah, pastikan menggunakan dua pelitup muka dan kerap menggunakan pembersih tangan (hand sanitizer) untuk pastikan sentiasa bersih,” ujarnya. 


Tambah ADUN Demak Laut itu lagi, kerjasama semua pihak seperti kerajaan dan masyarakat penting dalam mengekang penularan pandemik COVID-19.

No comments:

Post a Comment

Back To Top